Tuesday 30 July 2013

seandainya aku tahu -1

 

AKU TERIMA nikahnya Syazra Nur Rania Binti Sallehuddin dengan mas kahwinnya RM 80 Ringgit Malaysia tunai.” Sekali lafaz aku sah bergelar isteri kepada CEO Puncak Alam Holding.


Siapa yang tidak kenal Syed Zariff Iskandar AL-Aziz. Jejaka berketurunan arab yang kaya raya. Jika sebut sahaja nama keluarga Al- Aziz, pasti orang sudah membayangkan kemegahan empayar perniagaan mereka. Jika di fikirkan semula, aku adalah insan yang sangat bertuah kerana memiliki gading bertuah. Ikatan yang termeterai diantara kami membuatkan gadis-gadis di sekelilinginya cemburu. Kalaulah mereka tahu kisah disebalik pernikahan kami.


Lamunan ku terhenti apabila Puan Sri Syarifah Zaidah memelukku dan mengucup kedua belah pipiku.


“Selamat menjadi sebahagian daripada keluarga Al-Aziz.” Kata Puan Sri Syarifah Zaidah. Sungguh, wanita berwajah persis wanita arab itu gembira apabila Zariff membuat keputusan untuk menikahi Syazra. Dia tidak perlu risau anak lelaki tunggalnya diganggu oleh gadis-gadis yang tidak tentu hala perangai mereka. Pertama kali diperkenalkan dengan Syazra dia sudah jatuh sayang.


“Terima kasih Puan Sri.” Ucap Syazra. Dia tunduk untuk menyalami Puan Sri Syarifah Zaidah. Wanita itu menggeleng. Betapa bertuahnya dia kerana mendapat menantu seperti Syazra, serba serbi lengkap, cantik, bijak. Kembang hatinya mendengar rakan-rakannya memuji menantunya.


“Panggil umi, sayang. Sudah kesat air mata kamu, Zariff nak sarung cincin.” Syazra cepat-cepat mengesat air matanya.


Walaupun hakikat pernikahan mereka tidak seperti pasangan lain, dia tetap merasa bahagia, sekurang-kurangnya dia telah memenuhi harapan ayahnya untuk melihatnya mendirikan rumahtangga. Debar dihati bertambah apabila, Zariff menghampirinya dan memberi salam. Salam lelaki itu dijawab di dalam hati. Menggigil tangannya apabila Zariff meraih tangannya untuk menyarungkan cincin berlian. Syazra hanya mengikut rentak Zariff apabila lelaki itu mendongakkan wajahnya. Kacak. Sungguh, naluri wanitanya meruntun melihat penampilan hebat lelaki itu. Tapi dia sedar dia hanyalah pipit yang di sisi Syed Zariff. Masakan dia bisa memiliki sekeping hati jejaka itu. Hati jejaka itu bukan untuknya. Hati Syed Zariff milik gadis lain. Dan dia telah berjanji pada dirinya, dia tidak akan sesekali membiarkan dirinya jatuh kasih dengan lelaki itu.


“Abang kat depan mata pun sayang sempat mengelamun ke? Abang harap sayang angankan abang.” Tersentak Syazra mendengar tutur bicara Syed Zariff. Sayang? Abang? Apa benda ni? Makin terpana dia apabila Syed Zariff dengan selambanya tunduk lalu mengucup dahinya. Apabila Syazra memandangnya, lelaki itu hanya tersenyum lantas mengenyitkan matanya. Sabar Syazra, dia bukan milik kau, dia berlakon je ni. Syazra sekadar melemparkan senyuman palsu tatkala diusik oleh adik iparnya, Syarifah Amira.

................................................................................................


 “BAHAGIAKAN anak ayah ya Zariff. Janji dengan ayah jangan sakitkan hati dia.” Syazra hanya diam membisu. Dia tidak sanggup mendengar Syed Zariff menabur janji palsu pada ayahnya. Dia melekakan diri dengan berbual  bersama keluarganya. Majlis nikahnya telah selesai. Petang itu juga mereka akan pulang ke kampungnya yang terletak di utara tanah air. Atas sebab-sebab kesihatan, ayahnya tidak dapat turut serta dalam majlis persandingan mereka yang akan berlangsung malam esok, di sebuah hotel terkemuka di ibu kota.


“Ayah balik dulu, jaga diri kamu. Nanti senang-senang bawa suami kamu balik kampung, ayah ni dah tak larat. Tak tahu lah sampai bila ayah dapat tengok kamu. Apapun, ayah dapat tengok kamu bahagia, kahwini lelaki yang sayang kamu, ayah dah puas hati. Kalau esok, sampai masanya ayah menutup mata, ayah redha.” Air mata Syazra menitis, sungguh,  hatinya pilu mendengar luahan ikhlas ayahnya.


Maafkan Syaz ayah. Syaz terpaksa…. Dan airmatanya terus membasahi pipinya tatkala kereta Waja yang dipandu abang iparnya hilang dari perkarangan rumah agam mewah milik Tan Sri Syed Zamarul. Dia tidak sedar, tingkahlakunya diperhatikan seseorang, sehinggalah lelaki itu berdiri di belakangnya. Pantas dia menghapuskan sisa air mata. Dia yang menentukan takdir dirinya, dan seharusnya dia lebih tabah menyusurinya, tanpa perlu ada air mata yang mengiringinya. Syed Zariff tersenyum nipis. Sedari tadi dia memerhatikan tingkah isterinya. Terdetik rasa kasihan kerana wanita itu terjebak dalam permainan dirinya. Terusik hatinya melihat wanta itu mengalirkan air mata. Dia melihat sekeliling, rumahnya dikelilingi oleh ramai tetamu yang rata-ratanya merupakan rakan perniagaan walid dan juga saudara maranya.


“Kita masuk, aku nak cakap sikit.” Syed Zariff berbisik lembut ditelinga Syazra. Syazra hanya menurut. Bilik yang dihiasi serba hijau dipandang sepi. Matanya dibiarkan lepas memandang ke seluruh pelusuk bilik serba mewah itu. Syazra hanya memintal hujung selendang yang melapisi kepalanya yang kemas terlilit tudung putih yang ditaburi manik kristal mewah. Persalinan serba mewah serta suasana bilik yang serba elegan tidak sedikit pun menenangkan hatinya. Sebaliknya dia berdebar-debar menanti Syed Zariff keluar dari kamar mandi. Penantiannya berakhir apabila pintu berukir cantik itu dikuak oleh Syed Zariff. Sukar untuknya meneka perasaan lelaki itu ketika ini, riak wajahnya terlalu tenang.


“Lepas majlis persandingan kita esok, kita akan terus pulang ke rumah aku. Depan famili kita, aku akan panggil kau sayang, dan aku akan bahasakan diri aku dengan panggilan abang, itu peraturan pertama. Peraturan kedua, kau tak boleh tanya apa-apa pada aku, kita suami isteri hanya diatas kertas sahaja. Kau dengan kehidupan kau, aku dengan cara hidup aku. Kau tak boleh tanya apa aku buat, tapi aku berhak tahu apa kegiatan kau. Hmmm kau tak perlu minta izin aku kalau kau nak kemana-mana. Cuma aku minta kau jaga maruah aku sebagai suami. Kau boleh terus bekerja kat syarikat. Ingat depan orang lain, kita adalah pasangan suami isteri yang ideal, tapi seperti yang kau tahu, dihati aku hanya ada seorang wanita je... Thalia. Kau dah pernah jumpa kan dengan dia? Itu sahaja yang aku nak bagitahu kau. Hmm.. lagi satu, esok aku akan bank in duit pada kau macam yang kita persetujui. Kau ada nak cakap apa-apa?” Soal Syed Zariff. Dia bersandar di pintu gelongsor sambil berpeluk tubuh, tajam matanya memandang ke arah isterinya. Isteri? Wajah lembut itu ditatap lagi,  terkesima seketika apabila melihat senyuman manis terukir di bibirnya, wanita itu selalu ikhlas dalam perbuatannya.


“Awak... thanks sebab sudi yakinkan ayah saya tadi. Walaupun apa yang awak cakapkan tu, hanya sekadar omongan kosong, tapi melihat senyuman pada wajah ayah saya... saya dah puas hati.”


“Kau menyindir aku ke?” Soal Syed Zariff, sambil itu matanya menatap wajah Syazra. Syazra mengukir senyuman nipis.


“Tak, saya betul-betul maksudkannya.” Syed Zariff tersenyum sedikit. Permulaan yang bagus. Nampaknya kerja aku bertambah senang selepas ini.


“Don’t worry, aku cuma memainkan peranan aku. Kau pun sama, thanks sebab buat parents aku happy. Sudahlah... aku nak keluar, kau jangan lupa mandi and solat sekali.” Sempat lelaki itu mengingatkannya sebelum dia keluar.


Ah, dia tidak betah berlama-lama disitu. Makin lama dia berada didalam bilik berkenaan bersama wanita yang baru dinikahinya sebentar tadi, makin dia takut benteng hatinya goyah. Meskipun dihatinya masih kukuh terpahat nama Thalia Quesandra, namun Syazra Nur Rania, wanita yang halal untuknya.


............................................................................

“MINGGU DEPAN kita akan berangkat untuk ke Paris, aku dah siapkan segala-galanya.” Itu ayatnya padaku seminggu yang lalu.


Dan kini, aku bersendirian di kamar hotel mewah. Sedangkan suamiku menghilang entah ke mana. Mungkin sedang enak bersiar-siar bersama kekasih hatinya. Thalia, model berkulit mulus yang sedang meningkat naik. Sebut sahaja nama Thalia, pasti orang sudah membayangkan personalitinya yang hebat. Dia cantik, tinggi lampai, ranggi dan seksi. Raut wajah ala-ala cina. Menurut desas desus sesentengah pihak, wajah uniknya itu diwarisi dari darah keturunan cina disebelah ibunya. Ahh... aku memang bukan saingan dia. Aku hanya insan biasa. Aku cuma pemilik nama Syazra Nur Rania binti Sallehuddin. Gadis biasa, keluarga aku tidak sehebat keluarga Syed Zariff. Aku juga tidak tahu selama mana pernikahan kami akan bertahan, aku hanya menanti masa dia melepaskan aku. Dan apabila saat itu tiba, aku akan pergi meninggalkan dirinya. Aku akan mencari kehidupan ku sendiri.


“Zaff, berapa lama you nak ikat dia sayang?” Soal Thalia. Ketika itu dia dan Syed Zariff sedang bersiar-siar di Eifel Tower.


Cuaca yang sedikit  berangin  membuatkan  Thalia merapatkan dirinya  ke tubuh Syed Zariff. Syed Zariff pula bertindak memeluk pinggangnya. Wajah mulus Thalia direnung penuh kasih. Terdetik  rasa bangga dihatinya, kerana dapat bergandingan dengan wanita seanggun Thalia. Thalia Quesandra. Sebut sahaja nama itu pasti orang sudah membayangkan, figure tinggi lampainya, kulit kuning langsatnya yang halus, wajah uniknya. Kedua-duanya amat sesuai di gandingkan bersama, Syed Zariff juga tidak kurang hebatnya. Dia memiliki rupa paras yang kacak. Sesuai dengan darah arab yang mengalir dalam tubuhnya. Rambutnya ikal. Keningnya, tebal dan tersusun rapi. Sepasang mata hitam berkilatnya bersinar cantik, sesiapa sahaja akan terpukau dengan renungannya. Kulitnya putih. Ahh..dia memang mempunyai pakej yang lengkap. Hanya orang tidak siuman sahaja yang menolak untuk menjadi pasangan Syed Zariff. Thalia tersipu malu  direnung sedemikian lama oleh Syed Zariff.


“Sayang! I Tanya you ni, bila you nak lepaskan dia?”


“Sorry honey, I terleka tadi, you cantik sangat tak puas mata I memandangnya. I baru je bernikah dengan dia, baru 2 minggu. Belum tiba masanya untuk I lepaskan dia. Kenapa you takut ke? Honey, berapa kali I nak bagi tahu you, dalam hati I hanya ada you sorang je. Apa yang you risau sangat?” Soal Syed Zariff Thalia mendegus geram.


Walaupun sudah banyak kali Syed Zariff mengakui hanya Thalia satu-satunya wanita yang dia cinta, namun Thalia tetap berasa bimbang. Manalah tahu kasih Syed Zariff akan berubah dan beralih arah. Dia teringat saat dia bertentang mata kali kedua dengan pemilik nama Syazra Nur Rania. Gadis itu tidak kurang hebatnya. Kulitnya putih kemerah-merahan, alis matanya cantik terbentuk, hidungnya mancung, serta bibirnya yang sedia merah tanpa gincu. Paling menarik perhatiannya ialah apabila bibir mungil itu mengukir senyuman, pasti lesung pipit yang dalam akan terbentuk di kedua-dua belah pipi mulusnya. Jika dia membiarkan Syed Zariff dan Syazra terus rapat seperti itu, tidak mustahil jika Syed Zariff akan terpikat pada isterinya. Tanpa solekkan pun, Syazra tampil manis  dan cantik, bayangkanlah, jika wajah cantik itu ditempek  dengan sedikit alat mekap, pasti keseriannya akan terpancar. Silap haribulan, dia yang model pun akan kalah. Thalia hanya akan kelihatan cantik jelita dengan tempekkan alat mekap. Jika dia tidak  mengenakan sebarang solekkan, wajahnya akan tampak pucat.


“Syazra cantik I takut you jatuh hati pada dia.” Luah Syazra. Wajahnya bertukar sendu.


“I tak peduli meskipun dia miliki rupa paras secantik bidadari sekalipun, I tak peduli jika dia miliki kekayaan bernilai ratusan juta ringgit. I don’t care. Sebab, I dah jumpa bidadari hati I.” Bersungguh-sungguh Syed Zariff menyakinkan Thalia.


“Zaff, you ingat lagi tak janji you pada I dulu?” Soal Thalia. Wajahnya diseriuskan.


“I ingat sayang. Semua janji I pada you, I ingat. First, I takkan jatuh cinta pada Syazra. Second, I akan pastikan diri I tak rapat dengan dia, means that, I akan cuba jarakkan jarak diantara kami. Third, I takkan sentuh dia. Lastly, I akan lepaskan dia bila tiba masanya.” Satu persatu janji yang pernah dia lafazkan di persembahkan semula pada Thalia. Thalia tersenyum senang.


“So, I nak tanya you, you masih pegang semua janji-janji you kan?” Wajah Syed Zariff berubah kelat. Thalia menekup mulutnya. Dia tidak mahu percaya dengan apa yang bermain di mindanya.


“Zaff, jangan cakap, you dah langgar janji you.”


“Sorry to say, sayang. Tapi… I dah pernah sentuh....”


“What! How could you do this to me, I hate you!” Thalia menolak tubuh Syed Zariff yang sedari tadi memeluk erat pinggangnya. Tolakkan kuat Thalia membuatkan Syed Zariff terdorong ke  belakang. Apa yang dia tahu, dia mahu berada jauh dari lelaki itu. Bagaikan baru tersedar. Syed Zariff bergegas berlari mengejar Thalia. Akhirnya dia berjaya meraih pinggang Thalia. Tubuh itu ditarik kedalam pelukkannya. Thalia meronta-ronta, minta dilepaskan. Syed Zariff tersenyum sumbing. Malunya. Perlakuan mereka telah menarik perhatian orang. Dia menghela nafas panjang. Dia mengeratkan pelukkannya. Perghh… betul-betul drama queen. Cari pasal betul kau Zariff, nahas kalau ada orang yang nampak. Tak pasal-pasal kecoh satu Malaysia. Jutawan muda, Syed Zariff berpelukkan dengan Thalia Quesandra, model terkenal tanah air. Pernikahan Syed Zariff dan Syazra Nur Rania bergolak. Gila kalau umi dan walid tahu, aku berpelukkan dengan perempuan lain, dalam tempoh honeymoon pula tu. Memang kerja gila. Hah, betullah tu. Aku jadi gila sebab Thalia sorang je. Nasib baik kat Paris, kalau kat Malaysia, tak ingin aku buat drama macam ni.


“You, memang tak guna Zaff, lepaskan I. I benci you, pergi mampuslah you dengan  perempuan tu. Hei lepaskan I!” Thalia melepaskan geramnya dengan memukul-mukul dada bidang Syed Zariff. Lelaki itu hanya membekukan dirinya. Demi memujuk kekasih hatinya. Dia sanggup menahan sakit.


“I tak curang sayang.” Tangan Thalia berhenti memukul dada  Syed Zariff. Benarkah apa yang aku dengar ni? Dia tak curang? Syed Zariff bukanlah lelaki yang suka menipu. Apa yang keluar dari bibirnya adalah apa yang sebenar-benarnya. Lelaki itu tidak pandai berbohong.


“You bohong! Tadi I dengar you cakap you dah sentuh dia.” Lembut suara Thalia menusuk ke telinga Syed Zariff. Dia tahu hati wanita itu mulai lembut. Saat itu Thalia tunduk memandang jari-jemari runcingnya yang digenggam kemas oleh Syed Zariff.


“I pernah bohong you ke sayang? You kenal dengan I kan? You tahu I tak suka menipu. I Cuma cakap I dah sentuh tangan dia masa upacara membatalkan air sembahyang je. I kena sarungkan cincin dan Syazra kena salam tangan I. Tu lah you sayang, suka sangat potong cakap I. Tengok, you sendiri yang susah. You dengar je I sebut ‘SENTUH’ you dah mengamuk.” Thalia diam. Malunya. Pipinya meruap panas. Syed Zariff mendongakkan dagu Thalia. Jemari kasarnya mengesat sisa air mata di pipi wanita itu.


“Betul sayang? You tak bohongkan? Betul you cuma pegang tangan dia je?” Soal Thalia berulang kali. Syed Zariff mengangguk. Agaknya kalau Thalia tahu aku pernah cium dahi dan pipi Syazra, maunya dia bunuh aku. Desis hati Syed Zariff. Dia menyengih tiba-tiba. Berkerut dahi Thalia melihat perlakuan kekasihnya.


“Dah jom kita balik, dah lewat petang  ni.” Pelawa Syed Zariff. Cuaca makin sejuk, rata-rata pengunjung mula meninggalkan kawasan sekitar mereka. Hanya ada beberapa orang pasangan yang masih leka mengambil gambar dan melihat permandangan dari atas menara itu.


“You balik bilik I honey?” Sengaja Thalia mengoda.Syed Zariff mengeleng.


I’m sorry honey, Itu bukan prinsip I, I takkan sentuh perempuan yang tak halal untuk I. Hatta kalau halal sekalipun, I takkan sentuh perempuan tu kalau dia tak rela. Ceh, tak sentuh konon, yang kau peluk pinggang Thalia tu apa? Bukan sentuh ke? Ala, setakat sentuh sikit je, tapi tak adalah sampai ke bilik tidur.


“Not now honey. Not now. Tunggu bila you dah jadi Mrs Syed Zariff Al-Aziz okey?” Thalia tersenyum sumbing. Malunya. Syed Zariff tidak mengendahkan godaannya. Serasa dirinya pula yang tersorong-sorong. Thalia mengeratkan dakapannya pada jejaka idaman hatinya itu. Senyumannya makin melebar apabila Syed Zariff  juga semakin merapatkan badannya pada Tahlia. Sejuk barangkali.


Ah Zariff, yang halal kau tak nak guna, yang berdosa tu juga kau cari, walhal kalau kau sejuk sangat tu hah, isteri yang halal ada, peluklah erat mana pun tak dosa pun, dapat pahala lagi adalah, cari dosa betullah kau ni.


 


 


 


SYAZRA menyarung kot panas yang dibelinya di Univeller Traveller, dua hari sebelum berangkat ke situ. Mufler tebal dililitkan ke lehernya, sepasang sarung tangan tebal bewarna merah tersarung kemas di tangannya. Kemudian sebagai persiapan akhir dia memeriksa sekali lagi isi beg galas yang dibawanya. Kamera, check! Handpone kesayangannya check! Map check! Purse check! Botol air mineral, telekung dan bekalan roti turut dimuatkan dalam beg sederhana besar itu. Selepas menyarung kasut dia segera mengatur langkah keluar dari honeymoon suite yang ditempah khas untuk honeymoon mereka. Cantik dia mengayakan kot panas itu, pandai dia memilih baju panas yang sesuai dengan dirinya. Memanglah cantik, sebab dia pergi beli sendiri. Syed Zariff hanya menghulurkan kad kreditnya untuk digunakan oleh Syazra. Kata lelaki itu, belilah, apa-apa yang dia perlukan sebagai persiapan ke Paris.


Angin menyapa wajahnya. Terasa sejuk sungguh. Syazra berhenti sejenak di sebuah Café untuk menikmati secawan coklat panas untuk menghangatkan badannya. Sambil itu matanya memandang ke sekeliling. Alangkah seronoknya kalau dia berada di kota romantik itu bersama dengan orang yang disayanginya. Lihatlah pasangan kekasih disekelilingnya. Mereka duduk saling berhimpit. Masing-masing cuba memanaskan badan dengan pelbagai cara. Syazra menundukkan kepalanya tanda hormat kepada sepasang kekasih berusia awal 30an, pasangan lelakinya mengosok-gosok tangan pasangan wanitanya berulang kali dan meniupkan haba dari dalam mulutnya. Pasangan itu yang menyedari gelagat mereka diperhatikan, sekadar melemparkan senyuman mesra kepada Syazra. Tiba-tiba dia ternampak kelibat sepasang kekasih yang amat dikenalinya. Saat itu, perasaannya sukar digambarkan. Hatinya terasa sakit dan hancur. Dalam masa yang sama dia terasa dirinya seperti tidak bernilai. Masakan tidak, dia berdikari di situ. Ke sana ke sini berpandukan peta, menaiki kenderaan awam seperti tram, bertanyakan orang tentang arah tempat jika dia tidak tahu arah kesuatu tempat. Adakalanya dia terpaksa berhenti berjalan jika kedinginan terasa melampau sehingga membataskan pergerakkannya, tetapi, suaminya, suami yang baru dinikahi lebih kurang dua minggu lalu, kini sedang berkepit dengan kekasih hatinya, model terkenal Tahlia Quesandra. Mereka kelihatan hanyut dengan dunia mereka. Masing-masing mempamerkan riak bahagia. Sewaktu pasangan itu melewati meja yang didudukinya, Syazra pura-pura membelek telefon bimbitnya yang pastinya tidak berguna, kerana telefon murah itu tidak mempunyai perisian canggih yang boleh digunakan untuki membantunya ditempat asing. Kolam matanya terasa hangat. Terasa dirinya sungguh kerdil saat itu. Ya Allah... meskipun, aku mengehtahui hakikat sebenar pernikahan kami Ya Allah, tetapi aku masih insan biasa Ya Allah, hati ini tetap merasa peritnya. Syazra memberanikan dirinya untuk mengangkat kepalanya. Pasangan itu kelihatan menaiki kereta mewah. Ah, bertuahlah kalau Syed Zariff memberikan layanan sedemikian kepada ku. Syazra ketawa kecil. Bodohnya aku.


“Wipe your tears, beautiful lady.” Sehelai sapu tangan bewarna ungu tiba-tiba dihulurkan kepadanya. Syazra memandang gerangan yang memberikan sapu tangan itu. Wah, wanita tadi. Wanita berbangsa Eropah yang dilihatnya sedang saling memadu kasih dengan pasangannya.


“It’s, okey. I am alright. Thank you.” Syazra menolak secara baik. Wanita itu kembali memaksanya supaya menerima sapu tangan ungu itu.


“He is not your destiny. Believe me, you’ll find other better man than him. You are much pretty than his girlfriend. Don’t cry for a man who did not appreciate you at all.” Bersungguh-sungguh wanita itu meninggalkan pesanannya. Kemudian dia kembali kepada pasangannya. Dia berbisik sesuatu kepada pasangannya.


Ah malunya, gelagatnya diperhatikan orang. Sudahlah tu dia menangis pula tu. Syazra mengukir senyuman kepada pasangan kekasih yang ramah itu. Masih ada insan yang perihatin tentang dirinya. Kemudian dia kembali tunduk dan beraksi seolah olah leka menikmati kelazatan minuman yang dipesannya. Sebelum keduanya beredar, pasangan lelaki wanita itu menghampiri Syazra, lelaki itu memberikan 3 kuntum bunga ros merah kepada Syazra.


“I cannot accept this.” Kata Syazra sambil itu dia memandang wanita di belakang lelaki itu.


“Take this. Don’t worry she’s not going to be jelous since were are married. She is my wife. A beautiful lady like you, shouldn’t be sad. This flower is for you, give it to the person you love.” Barulah dia berani mengambil pemberian lelaki itu.


Ah, nampaknya bunga ni akan layu dalam simpanan aku. Mana ada orang lain aku nak bagi bunga ni. Syazra cepat-cepat menghabiskan minuman yang di pesannya. Syaz, kau kena kuat, ni baru 2 minggu, kenapa perlu menangis sedangkan kau tahu hakikat sebenarnya. Dia bukan milik kau. Berkali-kali dia mengingatkan dirinya. Syazra menarik nafasnya dalam dalam sebelum menghembusnya dengan kuat. Ah, pedulikan mereka, lebih baik kau bersiar-siar di sekitar kawasan ni, lagipun kau belum beli apa-apa cenderamata untuk famili di Malaysia.

1 comment:

  1. SALAM SEBENAR DAH LAMA SAYA CARI BLOG NI SUKUR AKHIR DAPAT JUGA HAPPY GILER SAYA TQ,

    ReplyDelete