Tuesday 13 August 2013

seandainya aku tahu-18



macam mana puas hati tak dengan entry lepas?

kali ni saya sambung entry bab 18, kisah tentang kerinduan seorang ibu pada anaknya yang telah lama tidak ditemui..
have fun..
selamat membaca

DATO’ SYED LUQMAN pelik melihat tingkah isterinya kini. Selepas sambutan majlis ulang tahunnya tempoh hari, dia berubah menjadi seorang yang pendiam. Tidurnya juga tidak selena selalu. Seringkali Dato’ Syed Luqman mendengar isterinya mengigau ketika tidur. Tengok dia berdiri tercegat didepan pun, Datin Syarifah Wahida boleh buat tak tahu. Sah. Isterinya berkhayal lagi.

“Sayang, kenapa ni?” Perlahan pipi isterinya diusap. Wajah lembut itu ditatap dengan riak kerisauan. Datin Syarifah Wahida cinta keduanya dan juga cinta terakhirnya. Pengorbanan wanita itu terlalu besar. Jika bukan kerana Datin Syarifah Wahida, dia sendiri tidak tahu akan nasib yang bakal menimpa Syed Hafeez. Anak sulungnya itu kehilangan ibu kandungnya sejak kecil, maka Datin Syarifah Wahida lah yang mengambil alih tugas membesarkan Syed Hafeez.

“Tak ada apa bang, maaf Ida tak perasan abang berdiri kat depan ni. Abang nak Ida buatkan air?” Senyuman membungai wajahnya. Dato’ Syed Luqman tidak berpuas hati, dia tahu isterinya ada menyembunyikan sesuatu dari pengehtahuannya. Bukan sehari dua hidup bersama. Bahkan sudah hampir suku abad mereka tinggal bersama. Ada sendu diwajah kesayangannya itu.

“Ida, abang takkan paksa. Tell me, mana tahu abang boleh tolong.” Datin Syarifah Wahida mengeleng.
“Ida..” Bahu isterinya dipeluk mesra. Perlahan-lahan Datin Syarifah Wahida bersandar di bahu suaminya. Tangan kanan suaminya diraih dan dibawa ke mulut. Bukan niatnya mahu membelakangkan lelaki itu. Jasa lelaki itu terlalu besar buatnya. Tanpa lelaki itu, dia sendiri tidak tahu ke mana hala tuju hidupnya.

“Maafkan Ida bang. Ida tahu Ida salah sebab membelakangkan abang. Cuma sejak dua menjak ni, Ida terlalu rindukan Nia.”Akhirnya terluah juga kata-kata itu.

“Abang faham. Abang pun tertanya-tanya keadaan anak Ida. Anak Ida, anak abang juga. Sebenarnya abang dah lama nak bincang perkara ni dengan Ida. Apa kata kalau kita lantik penyiasat persendirian? Abang rasa anak Ida mesti dah besar panjang. Mungkin hampir sebaya dengan Hafeez kan?” Datin Syarifah Wahida memandang suaminya lama-lama. Benarkah apa yang aku dengar? Dato’ Syed Luqman mengangguk berulang kali.

“Abang, isteri Zariff tu abang kenal tak?” Tiba-tiba soalan itu terpancul dari bibirnya. Dato’ Syed Luqman mengerutkan dahi. Isteri Zariff?

“Syed Zariff Iskandar ke?” Datin Syarifah Wahida mendegus lembut. Berapa banyak Zariff yang suaminya kenal. Zariff mana lagi kalau bukan putera tunggal dalam keluarga Tan Sri Syed Zamarul Al-Aziz.

“Kenal, saja je abang gurau dengan Ida. Kenapa dengan Isteri Zaff?” Mata Datin Syarifah Wahida bercahaya.
“Abang selalu jumpa ke?”

“Tak sangat. Sesekali dalam meeting. Baik budak tu sesuai dengan Zaff. Eh, Ida ni tanya lain macam je, kenapa?”
“Nama budak tu siapa bang?” Soal Datin Syarifah Wahida tidak bertangguh lagi. Suaminya menanggalkan cermin mata. Hai, pelik kerenah isterinya hari ni.

“Tak silap abang, Syazra. Tu jelah yang abang tahu.” Mata Datin Syarifah Wahida semakin bercahaya. Dirasakan pencarian semakin hampir.

“Syazra je ke bang?” Soalnya lagi.
“Entahlah. Dengar Feez panggil macam tu. Eh, Ida ni kenapa? Masa dia datang kat rumah kita, Ida tak tanya ke? Rasanya budak tu dengan Hafeez dan Zaff satu universiti dulu. Apa kata Ida tanya je pada anak teruna Ida, mesti dia tahu. Ida, abang nak naik mandi dulu. Nak dekat solat maghrib. Hmm, abang nak ke masjid, Ida nak ikut tak?”

“Tak apa lah bang,Ida nak solat di rumah je.” Dato’ Syed Luqman tidak tunggu lama, terus sahaja dia berlalu menuju ke ruangan atas. Dia mahu cepat mandi dan bersiap-siap. Memang sudah menjadi kebiasaannya untuk sama-sama solat berjemaah dengan jemaah di masjid jika dia ada kelapangan. Sayang jika rutin itu tidak diteruskan.

“Ida, abang pergi dulu .Hmm, Lin dengan Hafeez tak balik ke?” Soal Dato’ Syed Luqman.

“Lin dah bagitahu siang tadi, malam ni dia ada group discussion. Mungkin balik lewat sikit. Tak apalah bang, esok bukannya budak tu ada kelas. Anak teruna awak, saya tak tahu. Biasalah Hafeez, cakapnya selalu sahaja berubah.” Bebel Datin Syarifah Wahidah. Anak terunanya itu memang gila kerja kadang-kadang sampai tertidur di depan lap top.

“Nampaknya anak teruna kita tu kena ‘ikat’, baru nak lekat di rumah agaknya.” Omel Dato’ Syed Luqman.

“Maksud abang apa?” Suaminya tersenyum penuh makna kepadanya. Rasanya dia mengerti maksud senyuman suaminya itu.

“Kena carikan pasangan, baru nak lekat kat rumah agaknya.” Datin Syarifah Wahida ketawa mendengar kata-kata suaminya. Mahukah Syed Hafeez menikahi seorang gadis dalam usia semuda itu. Ah, Syed Zariff juga sudah mendirikan rumah tangga. Walhal usia mereka sebaya.

“Feez nak calon macam mama boleh?” Tiba-tiba ada suara yang mencelah. Datin Syarifah Wahida dan Dato’ Syed Luqman serentak menoleh ke belakang. Syed Hafeez sekadar tersengih. Gayanya nampak santai. Tali leher yang dipakainya telah pun terlerai ikatannya. Lengan baju kemeja bewarna hijau muda itu dilipat sehingga ke paras lengan.

“Baru balik? Nak ikut papa solat di masjid tak?” Soal Dato’ Syed Luqman.

“Papa pergi dulu. Feez menyusul nanti. Mama, kalau nak feez kahwin, carikan calon sebiji macam mama, kalau tak, tak payah.” Syed Hafeez sempat megelak apabila ‘sepit ketam’ berbisa mamanya mula memainkan peranan. Cepat-cepat dia berlari menaiki anak tangga menuju ke tingkat atas.

............................................................................................................

LELAKI TUA itu mengurut dadanya. Batuknya kian reda. Nafasnya kembali pulih seperti sediakala. Kemudian dia bersandar pada kepala katil. Dalam masa yang sama pintu bilik dikuak dari luar. Pandangannya terarah ke arah pintu. Seorang gadis muda masuk sambil membawa segelas air.

“Maaf ayah, tadi Hani tengah angkat baju. Ayah okeykan? Tak ada batuk-batuk?” Salehuddin mengeleng. Hati tuanya terubat melihat senyuman terukir di bibir manis anaknya. Anaknya itu sedang bergelut dengan buku, maklumlah SPM hanya tinggal beberapa bulan lagi. Awal-awal lagi Farhani sudah memasang tekad untuk mengikuti jejak langkah kakaknya.

“Mak mana?” Lambat-lambat Salehuddin bertutur. Tangan kanannya diangkat lalu rambut ikal lembut Farhani dielus lembut. Hanya anak itu yang sudi melayannya. Menemaninya berbual.

“Mak ke rumah mak cik Bedah. Ada mesyuarat wanita katanya. Macamlah ayah tak tahu mak tu. Sejak terlibat dengan persatuan wanita, macam-macam aktiviti dia join. Jual itulah, jual inilah, mana nak lekat kat rumah. Tak patut mak buat ayah macam ni.” Marah benar Farhani kepada emaknya. Padanya, emaknya seharusnya duduk sahaja dirumah dan menemani ayahnya. Bukannya emak tak tahu ayahnya sakit. Ah, emak terlalu mementingkan diri.

“Hani ,kenapa cakap macam tu? Tak baik tau. Ayah yang izinkan emak kamu keluar rumah. Bukan salah emak kamu. Lagipun kan emak kamu dah masak sebelum keluar rumah. Apa lagi yang tak kena?” Farhani diam. Ayah terlalu baik. Selalu sahaja menyebelahi emak. Hani bukan budak kecil. Hani tahu ayah sunyi. Hani tahu ayah tersiksa. Masak? Apa yang emak masak? Setakat nasi, kemudian telur goreng berserta botol kicap sahaja yang ada dibawah tudung saji. Aku pun boleh masak lebih sedap dari itu. Kemudian pandai pula tinggalkan nota, suruh aku beli sahaja lauk di kedai Pak Boiri.

“Ayah nak makan?” soal gadis berusia 17 tahun itu.Meskipun masih muda, namun Farhani jauh lebih matang dari usia sebenarnya.

“Hani dah makan?” Soal Salehuddin kembali.

“Belum, tunggu ayah. Kenapa ayah tak makan lagi? Kan hani dah siapakan bawah tudung saji.” Seingatnya tadi selepas pulang dari sekolah, dia sempat memasak lauk ringkas. Telur yang telah digoreng oleh emaknya dibuat sambal kemudian dia memasak sayur tumis air kegemaran ayahnya. Selepas itu dia terkocoh-kocoh mandi dan menunaikan solat zuhur pula. Selepas menunaikan solat barulah dia tenang untuk menghadap buku. Apabila melihat hari hampir hujan dia bergegas mengangkat kain di jemuran pula. Kemudian baru dia perasan ayahnya belum lagi makan ubat. Sebab itulah dia masuk ke bilik ayahnya tadi. Ayahnya kini perlu dipantau untuk memastikan dia makan ubat mengikut dosnya. Jika tidak, semua ubat-ubat yang dibekalkan doktor  tidak akan di sentuhnya langsung. Malahan, lebih teruk lagi ayahnya akan menyembunyikan ubat yang sepatutnya perlu diambil secara berterusan di bawah tilam atau di dalam almari pakaian. Hal ini diketahui oleh Syazra sendiri.

“Ayah, lepas SPM ni Hani ingat nak duduk rumah Kak Syaz. Teringin nak duduk KL. Mesti seronok kan?”

“Hei, nak buat apa pergi sana? Kan kak long dah cakap hari tu, lepas SPM suruh duduk rumah dia, tolong jaga anak dia. Mengamuk kak long kamu nanti. Sanggup kamu menghadap marah dia?”

“Peduli pula Hani dengan marah dia. Hani punya sukalah. Dia ingat Hani ni orang gaji dia ke? Kalau dia sanggup nak bayar tak apalah. Ni tak, suruh Hani jaga anak dia, dah lah anak kak long semua nakal-nakal. Letihlah. Lepas tu kena masakkan makan tengah hari lagi. Hani nak duduk rumah kak Syaz tak lama, dalam seminggu dua je. Lepas tu Hani ingat nak cari kerja. Boleh kumpul duit. Kalau dapat masuk universiti senang, duit dah ada.” Petah Farhani membalas kata-kata ayahnya. Seperti kakaknya gadis muda itu juga teliti. Sallehuddin mengukir senyuman nipis.

“Tak malu ke nak kacau Kak Syaz dengan abang ipar kamu tu?”
“Ayah ni, hari tu abang Zaff dah ajak. Dia cakap nanti boleh kawan dengan adik bongsu dia. Syarifah Aira Mayesa. Cantik tau ayah. Hani tengok dekat FB, fulamak, cunnya dia ayah. Macam model. Lebih kurang macam Abang Zaff. Tapi versi perempuanlah. Adik bongsu abang Zaff sama umur dengan Hani.” Salehuddin senyum lagi. Ada-ada sahaja tingkah anaknya. Nakal, namun dia anak yang baik. Dikala isterinya sibuk ke sana ke sini menguruskan hal persatuan, anak gadis bongsunya itulah yang setia di sisinya. Selalu mengambil berat akan dirinya.

“Nak ke dia kawan dengan anak ayah ni? FB tu benda apa Hani? Ayah tak pernah dengar pun.”

“FB tu Facebook lah ayah. Ayah nak Hani buatkan untuk ayah? Nanti bila ayah bosan, boleh ayah layari FB. Seronok tau ayah.”

 Bersinar mata gadis itu. Semenjak diberikan kemudahan broadband oleh abang iparnya, dia akui kerja hariannya menjadi bertambah mudah. Kini dia tidak perlu bersusah payah untuk keluar ke pekan bagi menggunakan kemudahan komputer dan internet. Segalanya boleh dilakukan di rumah sahaja. Adakalanya dia turut mempelawa rakan-rakannya untuk sama-sama memafaatkan kemudahan yang dia ada. Alang-alang buat kerja sekolah, dia melencong juga membuka akaun FB. Boleh juga dia menambah kenalan. Tambahan pula rata-rata kawan baiknya turut mempunyai akaun FB bahkan mereka menggunakan kemudahan itu sebagai platform untuk berkomunikasi.

“Apa kamu ingat ayah ni teruk sangat ke? Ayah tahu FB tu apa. Bukan setakat itu je, cinta muka buku pun ayah tahu. Kamu ingat ayah tak kenal ke penyanyi Najwa Latif tu? Kamu ingat ayah ni kuno sangat ke? Ha,  lagi satu ayah nak pesan, kemudahan yang abang ipar kamu bagi tu gunakan elok-elok. Dia bagi lap top dengan printer untuk kemudahan kamu belajar, jangan salah guna. Malu kalau dia tahu.” Ternganga Farhani mendengar tutur kata ayahnya.. Ayah kenal Najwa Latif? Wah, hebatnya ayah. Walhal hakikatnya, Sallehuddin selalu mendengar anak gadisnya mengalunkan lagu popular tersebut. Macam manalah dia tidak tahu siapa penyanyi berkenaan. Tak sangka zaman sekarang ni, macam –macam jenis lagu ada, asalkan penyanyi dan pengubal lagu itu kreatif. Facebook pun boleh dijadikan lagu.

“Ayah dah lah, jom kita makan. Dah dekat pukul 3, ayah tak makan apa lagi ni.”


“Ayah tunggu kamulah. Ayah tak adalah lapar sangat. Tadi sebelum kamu balik, ada orang datang kerumah,sedekah pulut kuning.” Farhani memimpin tangan ayahnya untuk keluar menuju ke ruang dapur. Lapang hatinya melihat selera makan ayahnya. Aku nak jadi macam Kak Syaz. Kak Syaz sanggup lakukan apa sahaja untuk ayah. Pembedahan ayah haritu, semua Kak Syaz yang tanggung. Aku nak jadi anak solehah seperti Kak Syaz. Amin.

No comments:

Post a Comment